Rabu, 21 Oktober 2009

Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis)

Oleh kembarasalik.wordpress.com


Syeikh Abdul Malik atau lebih dikenali Tok Pulau Manis dilahirkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060an/1650an, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama diperingkat awal dari kaum keluarganya sendiri.

Syeikh Abdul Malik kemudiannya belajar di Aceh yang digelar “Serambi Mekah. Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050/1620-1693) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah sekitar tahun 1680, ketika beliau dipercayai berumur 30 tahun.

Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011/1616-1690), yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari Terengganu, Fakeh Abdul Kadir Palimbang, Fakeh Abdul Rahman Patani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian. Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Syeikh Abdul Malik telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Fikah, Usuluddin dan Tasawuf disamping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti nahu, saraf dan sebagainya.

Beliau mendalami Fikah al-Shafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Shafie di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahl-al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf.

Syeikh Abdul Malik memilih Tarekat Shadhiliyah yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Shadili (M. 656/1258) yang berasal dari Maghribi. Beliau berkenalan dengan tarekat ini menerusi pengajiannya iaitu melalui karangan pendukung utama dari kalangan generasi ketiga aliran sufi iaitu Ibnu ‘Athaillah (M. 709/1309). Tulisan yang menarik minatnya itu ialah Al-Hikam disamping al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, Lata’if al Minan dan Taj al-Arus.

Pengajaran al-Shadhili dan Ibnu ‘Athaillah dianggap lanjutan dari pendekatan Tasawuf al-Imam al-Ghazali dan kitab Ihya ‘Ulumuddin menjadi kitab penting bagi pengajaran bagi Imam Abu al-Hassan al-Shadhili dan pendokong-pendokongnya. Sebagai seorang yang kesedaran tentang peri pentingnya mendalami ilmu Syariat disamping Usuluddin sebagai asas mendalami ilmu Tasawuf, Syeikh Abdul Malik sendiri, sebelum pemergiannya ke Tanah Suci sudah pun mendalami beberapa bidang ilmu tersebut.

Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, diantara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Shadhili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Gahzali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, iBn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, alRi’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh al-Harith al Mushasibi, Sharh terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma’a Allah oleh Ahmad al-Rifa’i.

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Syeikh Abdul Samad Palimbang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib bi Abdul Latif Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu Ata’ul-Lah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam melayunya :

(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikina itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah au memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia……?.

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal-Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1960an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan, yang diperkukuhkan oleh Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam kontek perkembangan sosial semasa. Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis baginda juga telah turut sama berpindah dan menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu.

Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fekah.

Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun iaitu pada tahun 1149H bersamaan 1736 sebagaimana yang terakam pada makamnya.

Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


TIDAK dapat dinafikan bahawa yang mewarnai corak keIslaman di Terengganu mulai peringkat awal hingga abad ke-20, terdiri daripada dua golongan ulama atau penyebar Islam. Golongan itu ialah, pertama: Berasal daripada ulama-ulama Patani, dan kedua: Daripada keturunan Rasulullah s.a.w. atau golongan `sayid'. Di antara ulama yang paling besar pengaruhnya di Terengganu ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu.

PENDIDIKAN

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim mendapat pendidikan asas di beberapa pondok pengajian di Patani. Walaupun ditinjau dari segi pangkat, nasab beliau adalah peringkat datuk saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, namun ditinjau dari segi umur pula Abdul Qadir lebih muda daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Menurut riwayat, Abdul Qadir dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah sama-sama belajar dalam sebuah pondok, sama ada di pondok Kuala Bekah (Patani) mahu pun di pondok-pondok lainnya. Bahkan pernah sama-sama belajar di Mekah. Dalam riwayat yang lain pula menyebut bahawa Syeikh Abdul Qadir pernah belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi beliau termasuk peringkat murid kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Ketika beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah, beliau berguru kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh. Kepada ulama-ulama Arab pula beliau belajar di antaranya kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim, Mufti Syafi'ie di Mekah, Syeikh Ahmad al-Marzuqi dan lain-lain. Setelah memperoleh ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang di Mekah dan Madinah, beliau turun ke Jawi. Pertama kali ke sana beliau tidak langsung ke negeri asalnya Patani, tetapi beliau ke Pulau Duyung, Terengganu. Langkah itu diambilnya kerana di Pulau Duyung Kecil, Terengganu itu ahli keluarganya lebih ramai dan lebih dekat daripada di Patani sendiri. Di Pulau Duyung Kecil, Terengganu beliau memulakan aktivitinya sebagai seorang ulama.

AKTIVITI

Syeikh Abdul Qadir mulai mengorak langkah di mana sahaja beliau pergi dalam negeri Terengganu beliau memperkenalkan ajaran Islam menurut Mazhab Syafie dan iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Beliau merancang membuka sebuah institusi semacam pondok di Patani, kerana pada zaman itu pengajian pondok memang di Patani yang paling terkenal di rantau ini. Sama ada di Terengganu mahupun di tempat-tempat lainnya, pengajian pondok tidaklah sekukuh seperti di Patani sendiri. Apabila rancangannya itu telah mantap, beliau pulang ke Patani dengan tujuan mendapatkan rancangan kerja yang lebih mantap atau konteks kerjasama dalam dunia pendidikan pondok dengan beberapa orang Tok Guru mahu pun ahli keluarga beliau yang menjadi ulama yang memimpin pondok di Patani. Setelah sampai ke Patani, niat beliau tergendala kerana pada masa itu terjadi suatu peperangan besar antara Kedah-Patani terhadap pencerobohan bangsa Siam. Peperangan besar yang melibatkan beberapa orang tokoh ulama itu diikuti pula oleh Syeikh Abdul Qadir sendiri.

Pengajian pondok

Dipercayai beliau datang ke Pulau Duyung kali kedua ini sekitar tahun 1830an M. Ketika itu beliau mulai mengajar di Kampung Paya Bunga, Duyung. Syeikh Abdul Qadir mendirikan sebuah mesjid di Bukit Bayas. Di kedua-dua tempat itu beliau membina pengajian pondok menurut tradisi di Patani. Kemudian oleh sebab beliau memusatkan aktivitinya di Bukit Bayas, maka terkenallah namanya kemudian hari dengan gelaran Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, pengganti kepada nama terkenal sebelumnya iaitu gelaran Syeikh Abdul Qadir Duyung (Tok Duyung sahaja).

PENULISAN

At-Targhib wat Tarhib li al-Bai'i wa Asy-Syira, diselesaikan waktu duha, hari Isnin, 2 Rabiulawal 1234 H, di negeri Terengganu. Kandungannya membicarakan tentang perniagaan menurut ajaran Islam, mengemukakan hujah-hujah berdasarkan al-Quran dan hadis mengenai terlarangnya memakan riba. Di antara salinan terbaik yang pernah ditemui ialah yang diselenggarakan oleh Mahmud ibnu Muhammad Yusuf Terengganu.

Setelah Basmalah, Hamdalah, Selawat dan Salam, pengarangnya Syeikh Abdul Qadir menyebut judul karya ini dalam bahasa Arab, iaitu Risalah fi Bayani Hukmil Bai'i war Riba. Judul terjemahan oleh pengarangnya dalam bahasa Melayu: Risalah Pada Menyatakan Hukum Jual Beli Dan Riba. Berdasarkan kenyataan ini bererti karya ini terdapat dua judul yang berbeza dalam bahasa Arab, iaitu judul yang satu lagi yang tertulis pada bahagian depan manuskrip ialah: At-Targhib wat Tarhib li al-Bai'i wa asy-Syira.

Sebagai keterangan tambahan keseluruhan kandungannya diringkaskan oleh beliau sendiri, dengan katanya ``Ditambahi sedikit daripada dalil dan hadis pada menyatakan seksa dan azab atas tiap-tiap orang yang memakan riba, dan orang yang mengurangkan sukatan dan timbangan, dan orang yang menzalim atas harta manusia.'' Sasaran karangan beliau nyatakan, ``Supaya beroleh manfaat dengan dia oleh tiap-tiap orang yang membaca akan dia daripada segala orang yang berjual beli laki-laki dan perempuan, kecil dan besar, muda dan tua.'' (hlm. 1).

Setelah itu pengarangnya memasuki perbincangan yang merupakan subjudul awalnya, ialah Asal Yang Mengharuskan Jual Beli Dan Haram Riba. Bahagian ini mengemukakan hujah-hujah daripada al-Quran dan hadis lengkap dengan perbandingan pendapat para ulama tentang pentafsirannya. Hadis yang pertama diperkenalkan terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Bermula yang terlebih afdal usaha itu berjual beli yang baik, ertinya yang tiada tipu daya padanya dan tiada khianat, dan bekerja laki-laki dengan tangannya.''

Selanjutnya Syeikh Abdul Qadir memetik hadis- hadis yang lain, di antaranya yang dikeluarkan oleh Baihaqi daripada Muaz, hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan Hakim daripada Ibnu Umar, hadis yang dikeluarkan oleh Ishbahani dan Dailami, dan banyak lagi hadis yang dapat dirujuk pada bahagian ini (hlm. 2-4). Kemudian memasuki Tanbih Bersalah-salahan Ulama Pada Usaha Yang Terafdal, Syeikh Abdul Qadir memulakan kalimat bahagian ini dengan katanya, ``Telah berkata oleh beberapa ulama, yang terlebih afdal usaha itu berniaga. Dan telah berkata oleh setengah ulama yang Muhaqqiqin, bermula usaha yang terlebih afdal itu berbuat bendang, kemudian daripada itu usaha kepandaian. Seperti berbuat rumah dan perahu, menjahit dan barang sebagainya daripada segala kepandaian yang diharuskan oleh syara. Kemudian daripada itu pula berniaga.'' Pada bahagian ini dimulai dengan khabar daripada Muslim terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Tiada menanam oleh orang yang Islam akan satu tanaman dan tiada berbuat bendang ia akan satu bendang, maka makan daripadanya oleh manusia, dan tiada memakan akan dia oleh binatang, dan tiada suatu yang memakan akan dia melainkan adalah baginya itu sedekah.'' Setelah membandingkan pelbagai pendapat, lalu dimulai perbincangan mengenai jual beli, iaitu dimulakan dengan tiga macam bentuk jual beli: Pertama, berjual mata benda yang dilihat. Kedua, dijual akan mata benda yang belum lagi maujud. Ketiga, dijual mata-benda yang ghaib, yang tiada dilihat (hlm. 10-20).

Hukum riba

Setelah mengupas sesuatu barang yang sah dijual beli atau tidak sahnya secara terperinci, lalu membicarakan mengenai riba. Syeikh Abdul Qadir membuka lembaran ini dengan kata beliau, ``Syahdan hendaklah mengetahui dan belajar pula akan hukum riba kerana wajib atas tiap-tiap orang yang berniaga itu berlajar segala hukum jual beli, dan hukum riba ...'' Menurut beliau, ``Barangsiapa berniaga dahulu daripada mengetahui hukumnya nescaya haramlah atas orang itu dengan ittifaq segala ulama...'' Mengenai asal hukum haram riba beliau kemukakan ayat al-Quran dan beberapa hadis. Di antara hadis yang disebutkan terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Satu dirham riba yang memakan akan dia oleh anak Adam itu terlebih sangat besar dosanya pada Allah Taala daripada tiga puluh enam kali mengerjakan zina. Riwayat Imam Ahmad daripada Abi Hurairah.'' Semua permasalahan riba dibicarakan mulai hlm. 20 sampai 31. Selanjutnya disambung dengan Tanbih Haram Menipu Daya Pada Berjual Beli. Di antara hadis yang dipetik pada perbincangan ini terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Dan barangsiapa menipudaya ia akan kami maka tiadalah ia daripada kami.'' (hlm. 32-41). Tidak kalah juga pentingnya beliau memberi subjudul Tanbih Suatu Perjagaan Pada Menyatakan Hukum Orang Yang Mengurangkan Sukatan Dan Timbangan''. (hlm. 46-49).

KETURUNAN DAN MURID

Syeikh Abdul Qadir ini sangat besar pengaruhnya sama ada kepada masyarakat luar mahu pun kepada pihak Kerajaan Terengganu. Sangat ramai murid beliau menjadi ulama besar dan pemimpin kerajaan Terengganu. Daripada keturunan (zuriat) beliau demikian juga adanya. Beliau meninggalkan anak 21 orang lelaki dan perempuan. Mereka ialah: 1. Wan Abdur Rahim, 2. Wan Muhammad Amin, 3. Wan Muhammad Sa'id, 4. Wan Muhammad Saleh, 5. Wan Jamilah, 6. Wan Maimunah, 7. Wan Putih, 8. Wan Hitam, 9. Wan Khatijah, 10. Wan Maryam, 11. Wan Abdullah, 12. Wan Halimah, 13. Wan Salamah, 14. Wan Abu Bakar, 15. Wan Ahmad, 16. Wan Kaltsum, 17. Wan Abdur Rahman, 18. Wan Aminah, 19. Wan Man, 20. Wan Salimah, 21. Wan Muda. Yang menjadi ulama dan pembesar di Terengganu di antaranya Wan Muhammad Saleh, iaitu berpangkat Tok Kaya Pahlawan atau Datok Sangsura Pahlawan. Cucu beliau bernama Wan Abdul Hamid bin Wan Muhammad Sa'id bin Syeikh Abdul Qadir juga sebagai Datok Sangsura Pahlawan.

Di antara murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas yang sangat terkenal sebagai tokoh atau pun ulama ialah Baginda Sultan Umar (Sultan Terengganu), Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani (Syeikh Duyung), Tok Ku Tuan Besar, Tuan Guru Mahmud bin Muhammad Yusuf Kemaman (penyalin pelbagai manuskrip) dan ramai lagi.

WAFAT

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Terengganu wafat dalam tahun 1864 M di Kampung Paya Bunga, Terengganu. Riwayat lain menyebut beliau wafat di Bukit Bayas, Terengganu.


Tok Syeikh Duyung

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah



SEORANG keluarga Tok Syeikh Duyung ditemu bual di Bukit Bayas, Terengganu. Wan Mohd. Shaghir Abdullah duduk di kanan.

PADA tarikh 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu telah berlangsung Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara. Majlis itu dihadiri 1,500 orang. Pada keesokan harinya di dewan yang sama berlangsung pula Peringatan 101 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani yang diberi judul ‘Ulama Bermesra Sultan dan Rakyat (Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Sultan Zainal Abidin III)’.

Peringatan ini adalah atas kerjasama pihak KUSZA dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (PENGKAJI). Saya telah diberi kesempatan memberi ceramah di beberapa tempat di Terengganu yang diatur oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Saya dan PENGKAJI terhutang budi atas kerjasama pihak KUSZA dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Kami mengucapkan jutaan terima kasih. Selama seminggu di Terengganu saya berkesempatan menziarahi beberapa makam ulama yang bersejarah di Terengganu dan mewawancara beberapa orang.

Wawancara itu bukanlah yang pertama kali di Terengganu, tetapi adalah lanjutan wawancara yang pernah dijalankan tahun 1976. Ulama Terengganu tidak dapat dipisahkan dengan ulama Patani, termasuk yang diriwayatkan ini, yang digelar orang ‘Tok Syeikh Duyung’.

Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin bin Ya’qub al-Fathani. Lahir di Cabang Tiga, Patani, tahun 1216 H/1802 M, Allahyarham wafat pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir 1306 H/24 Februari 1889 M.

Saya terkenang kembali hasil wawancara saya di Terengganu pada tahun 1976, terutama dengan Datuk Sansura Pahlawan, tentang nama ‘Duyung’. Ia mengingatkan saya bahawa Pulau Duyung Kecil menjadi tempat keluarga besar ulama Patani berhijrah akibat perang dengan Siam. Di antara yang berhijrah ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang banyak menulis kitab yang sangat terkenal itu. Yang digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ yang lebih awal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang kemudian lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Syeikh Bukit Bayas’.

Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ kemungkinan kemudian daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani. Ketiga-tiga ulama yang saya sebutkan iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas dan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin Duyung adalah masih dalam satu lingkungan keluarga yang dekat.

Nama ayahnya ialah Syeikh Wan Muhammad Amin al-Fathani yang digelar dengan ‘Tok Syeikh Qadhi al-Fathani’. Beliau pula ialah anak Wan Ya’qub al-Fathani. Hanya sampai kepada Wan Ya’qub saja nasab dari sebelah ayahnya dapat dikesan. Ibu Tok Syeikh Qadhi (Syeikh Wan Muhammad Amin) bernama Wan Salamah binti Tok Wan Deraud bin Cik Wan Derahim yang kahwin dengan Tok Wan Nik. Ibu Tok Wan Nik ini bernama Wan Dewi binti Tok Kaya Rakna Diraja bin Syeikh Faqih Ali al-Malabari.

Ibu Tok Syeikh Duyung (Syeikh Wan Abdullah) bernama Wan Aminah binti Tok Wan Drahmad bin Tok Wan Derahman bin Tok Kaya Pandak. Tok Kaya Pandak ini nama sebenarnya ialah Wan Ismail bin Nakhoda Wan Kang daripada perkahwinan dengan puteri Laksamana Johor.

Nakhoda Wan Kang yang dimaksudkan di sini adalah nama gelar pada Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ada riwayat menyebut bahawa beliau ini adalah seorang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah ke Malabar (India) dan selanjutnya berhijrah ke dunia Melayu.

Berkahwin

Riwayat yang lain menyebut bahawa beliau berasal dari negeri Bugis. Syeikh Faqih Ali al-Malabari atau Nik Ali atau Saiyid Ali pertama sampai di Johor telah berkahwin dengan puteri Johor bernama Wan Tijah. Mastautin atau tempat tinggal terakhir Syeikh Faqih Ali al-Malabari ialah di Patani.

Keturunan beliau selain menjadi ulama seumpama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Tok Syeikh Bukit Bayas dan lain-lain, termasuk juga tokoh-tokoh kerajaan seumpama Long Yunus Kelantan.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani (Syeikh Wan Muhammad Amin) adalah seorang ulama yang seangkatan dan sahabat dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) ketiga-tiganya adalah ulama besar. Oleh itu Wan Abdullah mendapat pendidikan daripada Tok Syeikh Qadhi al-Fathani, iaitu ayahnya sendiri yang ketika itu tinggal di Kampung Paya Bunga.

Pada masa yang sama Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin bersahabat dengan Saiyid Muhammad Zainal Abidin (Tukku Tuan Besar) dan selanjutnya belajar dengan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang pada ketika itu tinggal di Bukit Bayas.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani dan Tok Syeikh Bukit Bayas kedua-duanya mendapat kedudukan yang tinggi pada zaman pemerintahan Sultan Omar Terengganu, bahkan kedua-duanya termasuk guru baginda.

Selanjutnya pelajaran dilanjutkan di Mekah kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam masa yang sama sekurang-kurangnya ada tiga orang yang berasal dari Terengganu yang belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu.

Ketiga-tiga mereka kemudian menjadi ulama besar yang terkenal. Mereka ialah Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin, Saiyid Muhammad Zainal Abidin dan Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu.

Ulama nama yang terakhir ini diriwayatkan berasal dari Kemaman, Terengganu. Beliau merupakan tokoh besar yang menulis salinan karya-karya ulama dunia Melayu. Jumlah manuskrip salinannya seimbang dengan salinan Tok Kelaba yang datang kemudian daripada beliau. Hingga kini belum dijumpai ulama dunia Melayu yang menyalin manuskrip Melayu lebih banyak daripada kedua-duanya.

Setelah pulang dari Mekah pada tahun 1263 H/1846 M, Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin mengambil tempat kedudukan dan pusat aktivitinya di Pulau Duyung Kecil Terengganu. Selain mengajar di Pulau Duyung Kecil, beliau juga mengajar di beberapa tempat di antaranya Paloh, Losong dan Bukit Bayas.

Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyung) seperti ulama-ulama Patani lain tetap mengajar dua jenis kitab, iaitu yang berbahasa Melayu dan berbahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Melayu yang diajarkan diutamakan karangan gurunya, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kitab-kitab bahasa Arab yang diajarkan adalah karangan ulama-ulama yang terkenal dalam pelbagai disiplin ilmu. Yang paling diutamakan dalam tasawuf ialah Ihya’ ‘Ulumid Din oleh Imam al-Ghazali

Murid Tok Syeikh Duyung sangat ramai, termasuk yang datang dari luar Terengganu. Ada yang datang dari Patani, seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Brunei, Kalimantan dan lain-lain.

Di antara murid Tok Syeikh Duyung yang menjadi ulama besar lagi terkenal ialah Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, Tukku Paloh dan Haji Wan Muhammad (anak beliau sendiri) yang pernah menjadi Mufti Terengganu setelah Tok Syeikh Duyung wafat. Di kalangan Sultan Terengganu yang pernah menjadi murid Tok Syeikh Duyung ialah Sultan Omar dan Sultan Zainal Abidin III.

Baginda Sultan Omar telah melantik Syeikh Muhammad Amin al-Fathani (Tok Syeikh Qadhi) menjadi seorang pembesar negeri. Pada masa pemerintahan Sultan Terengganu itu anak Tok Syeikh Qadhi yang bernama Haji Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) telah dilantik menjadi kadi, sekali gus menjadi penasihat kepada Baginda Sultan Omar.

Pada waktu yang sama gurunya Tok Syeikh Bukit Bayas menjadi mufti. Selanjutnya setelah gurunya itu wafat, Tok Syeikh Duyung dilantik menjadi Mufti Terengganu mulai tahun 1269 H/1853 M hingga beliau wafat pada tahun 1306 H/1889 M.

Sewaktu berlaku Pemberontakan Besut pada 1874, Sultan Omar telah menugaskan Tok Syeikh Duyung ke Kelantan dengan tujuan supaya Sultan Kelantan menghentikan bantuan kepada pemberontakan itu.

Tok Syeikh Duyung bersama-sama anak beliau Haji Wan Muhammad Wan Abdul Qadir dan angkatan kebesaran yang membawa perutusan berangkat ke Kelantan dengan menaiki gajah. Menurut riwayat, perundingan antara Tok Syeikh Duyung dengan Sultan Kelantan mendatangkan hasil yang memuaskan.

Daripada riwayat itu, dapat disimpulkan bagaimana bijaknya seorang ulama menangani sesuatu isu yang besar sehingga seseorang sultan dapat menerima buah fikirannya seterusnya peperangan terhenti dan perdamaian diperoleh.

Riwayat itu pula adalah bukti iaitu Sultan Terengganu mahupun Sultan Kelantan ketika itu terpaksa akur dan patuh atas besarnya kewibawaan seorang ulama yang bergelar Tok Syeikh Duyung. Riwayat ini pula adalah sebagai bukti karamah Tok Syeikh Duyung. Menurut cerita, sesiapa sahaja yang berjumpa dengan beliau, sama ada disengaja ataupun tidak, akan terpahat pada hati memandang beliau sebagai seorang yang sangat hebat.

Tok Syeikh Duyung selain berwibawa dan dihormati oleh Sultan Omar (Sultan Terengganu) dan Sultan Kelantan, beliau sangat berkesan pada hati seorang muridnya yang menjadi Sultan Terengganu berikutnya, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Tok Syeikh Duyung pula sangat kasih kepada muridnya itu sama ada sebelum menjadi sultan mahupun sesudahnya.

Tambatan kasih sayang daripada guru kepada murid atau sebaliknya daripada murid kepada guru dalam istilah tasawuf dinamakan dengan ‘rabithah’. Rabithah yang dimaksudkan telah berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. terhadap para sahabatnya dan sebaliknya.

Sembahyang hajat

Maksud perkataan Saidina Abu Bakar as-Siddiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.: “Aku kasih dalam dunia tiga perkara, duduk bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w., membelanjakan hartaku untuk Nabi Muhammad s.a.w. dan mengucapkan selawat atas Nabi Muhammad s.a.w.”

Oleh itu sewaktu pertabalan Sultan Zainal Abidin III menjadi Sultan Terengganu pada 18 Disember 1881, Tok Syeikh Duyung telah melakukan sembahyang hajat dengan doa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan Sultan Zainal Abidin III, semua rakyat dan kerajaan yang di bawah pemerintahan baginda.

Sesuatu pemerintahan Islam akan selamat apabila penguasa tertingginya dapat bekerjasama dengan ulama. Ulama yang membawa selamat dan berkat ialah ulama yang dapat memberi nasihat kepada pemerintah, berani berkata benar walaupun terhadap penguasa yang zalim.

Sesuatu pemerintahan Islam dan rakyat akan binasa apabila para ulamanya tidak berani memberi nasihat yang benar kepada pemerintah. Sesuatu pemerintahan Islam akan lebih binasa apabila pemerintahnya memusuhi ulama yang berani berkata benar seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Tokku Tuan Besar

PERBINCANGAN pada kali ini masih berkisar berkaitan ulama-ulama Asia Tenggara dari sudut penulisan manuskrip yang ditinjau dari pelbagai peringkat zaman. Sebelum ini telah dibicarakan dari peringkat pertama sehingga keenam. Peringkat keenam adalah antara peringkat zaman yang banyak dihasilkan penulisan-penulisan manuskrip oleh ulama-ulama yang ada pada zaman tersebut. Antaranya Sheikh Daud al-Fathani, Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Sheikh Muhammad bin Khatib Langien dan beberapa lagi. Maka pada kali ini disambung lagi kepada beberapa ulama yang belum selesai dibicarakan lagi, dan masih pada peringkat keenam.

Kesinambungan Peringkat Keenam

Dalam peringkat keenam ini, ulama-ulama yang berasal dari Terengganu juga menghasilkan karya. Ada tiga ulama Terengganu yang perlu disebutkan di sini, iaitu: Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus, atau lebih popular dengan sebutan Tukku Tuan Besar.

Manuskrip karyanya yang terawal ditulis pada tahun 1250 H/1834 M, tentang sanad Dalail al-Khairat. Manuskrip-manuskrip yang lain ialah: mengenai hadis memakai serban, ditulis tahun 1267 H/1850 M, Salasilah Ratib al-Haddad, ditulis tahun 1267 H/1850 M.

Karya beliau yang paling terkenal Kanz al-Ula, sebuah manuskrip judul ini, tetapi tidak lengkap, telah penulis serahkan kepada Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM).

Manuskrip itu adalah tulisan tangan nenek penulis, Hajah Wan Siti Saudah binti Sheikh Abdullah al-Fathani, yang diselesaikan salinannya tahun 1324 H/1906 M. Salinan tersebut diberi bernombor kelas MS 1101. Karya beliau yang terkenal pula ialah Jauhar as-Saniyah, belum diketahui di mana manuskripnya tersimpan. Keseluruhan karya beliau dalam senarai penulis sebanyak 11 judul.

Ulama Terengganu yang kedua pada peringkat ini ialah Saiyid Ahmad bin Saiyid Muhammad al-Aidrus, digelar dengan Tukku Melaka, gelar yang lain ialah Tuan Saiyid Embun Terengganu. Manuskrip terawal yang telah dijumpai bertarikh 1256 H/ 1840 M, judul Terjemah Muqaddimah dan Doa Dalail al-Khairat, koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia.

Manuskrip yang tersebut adalah asli tulisan tangan beliau. Manuskrip asli tulisan tangan beliau yang ditemui pula ialah Al-Fawaid fi ash-Shalat wa ‘Awaid, diselesaikan pada malam Sabtu, bulan Safar, 1264 H/1847 M. Tukku Melaka sendiri menyerahkan manuskrip karyanya itu kepada Sheikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani, diserahkan pula kepada Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani untuk ditashih dan diterbitkan berupa cetakan.

Manuskrip tersebut pernah penulis miliki berupa pusaka dan kemudian diserahkan kepada PMMPNM. Dicatat dengan nombor kelas MS 1103. Karya Tukku Melaka yang ditulis agak akhir dapat dimasukkan ke dalam kategori peringkat ketujuh, ialah Hidayat al-‘Awam fi Bayan Hukm Syarb ad-Dukhan, diselesaikan tahun 1293 H/1876 M, membicarakan haram tembakau.

Manuskrip judul ini hanya ditemui sebuah sahaja, berupa salinan yang dilakukan di Sungai Cincin, Selangor. Manuskrip tersebut tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia.

Karya Tukku Melaka yang terakhir judul Kumpulan Wirid dan Doa, diselesaikan tahun 1295 H/1878 M. Keseluruhan karya Tukku Melaka dalam senarai penulis ada tujuh judul.

Ulama Terengganu yang ketiga dalam peringkat ini ialah Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir, berasal dari Kemaman, Terengganu, meninggal dunia di Kampung Pusin, Yala. Memulakan kariernya di Sungai Tok Gali, Pujut, Patani, tahun 1235 H/1819 M (membuat salinan sebuah kitab perubatan. Salinan tersebut ada dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1292. Salinan beliau yang terakhir tahun 1291 H/1874 M, judul Kanz al-Minan karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Manuskrip mengenai ini juga dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1240.

Ulama yang berasal dari Minangkabau yang muncul dalam Peringkat Keenam ialah Sheikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi dan Sheikh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa. Karya Syeikh Ismail Minangkabau yang ada dalam senarai saya sebanyak sembilan judul.

Di antaranya yang ada disebut tarikh selesai penulisan ialah Ar-Rahmat al-Habithah fi Zikr Ism az-Zat wa ar-Rabithah, diselesaikan tahun 1269 H/1825 M, Nazhm as-Silsilah, diselesaikan tahun 1270 H/1854 M. Manuskrip mengenai ini ada dalam simpanan penulis.

Sebuah manuskrip mengenai Tarekat Syaziliyah karya Sheikh Ismail Minangkabau tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia. Manuskrip berbentuk syair dalam bahasa Arab tersimpan di PMMPNM. Karya beliau yang lain yang cukup terkenal ialah Kifayat al-Ghulam.

Karya Sheikh Muhammad Shalih Rawa yang telah dijumpai ada empat buah; semuanya ditulis tahun 1272 H/1855 M. Yang terpenting di antaranya Fath al-Mubin, syarah hadis 40 Imam Nawawi yang disyarah dalam bentuk fiqh.

Ulama yang berasal dari Sambas, Kalimantan Barat yang hidup dalam Peringkat Keenam ialah Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar al-Sambasi (wafat 1280 H/1863 M atau pendapat lain 1289 H/1872 M). Karya beliau hanyalah yang berupa imlak kepada murid-muridnya, judul Fath al-'Arifin yang sangat popular di kalangan pengikut Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Naqsyabandiyah dunia Melayu.

Antara yang sempat diterbitkan atas tashih dan usaha Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ialah yang berasal daripada imlak kepada Sheikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali. Tarikh naskhah 1295 H/1878 M, cetakan pertama di Matba'ah al-Miriyah al-Kainah Makkah tahun 1305 H/1887 M.

Ada lagi manuskrip yang lebih awal yang tidak sempat diterbitkan berupa cetakan iaitu imlak kepada Haji Muhammad bin Sheikh Abdus Samad al-Kalantani, tarikh 1294 H/1877 M.

Manuskrip ini telah menjadi milik PMMPNM yang diperoleh daripada penulis. Penulis pula memperolehnya daripada pusaka peninggalan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Karya Sheikh Ahmad Khatib Sambas yang lain ialah Fatwa Perihal Jum’at. Manuskripnya ada dalam simpanan penulis.

Salah seorang murid Sheikh Ahmad Khatib Sambas yang terkenal ialah Sheikh Nawawi al-Bantani, yang digelar oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dengan Imam Nawawi Tsani. Ulama yang berasal dari Banten, Jawa Barat itu penulisannya dalam dua peringkat, iaitu Peringkat Keenam dan Peringkat Ketujuh.

Oleh sebab lebih banyak karya yang dihasilkan dalam Peringkat Keenam, maka dimasukkan ke dalam Peringkat Keenam ini. Karya beliau semuanya ditulis dalam bahasa Arab melebihi 100 judul, tetapi dalam senarai penulis hanya 44 judul sahaja.

Karya terawal yang telah ditemui judul Targhib al-Musytaqin, diselesaikan tahun 1284 H/1867 M. Bererti beliau mula masuk ke medan penulisan dalam usia 54 tahun kerana beliau lahir tahun 1230 H/1814 M. Bererti pula beliau menghasilkan karya melebihi 100 judul itu diselesaikan dalam jangka waktu 30 tahun kerana Sheikh Nawawi al-Bantani wafat tahun 1314 H/1897 M.

Karya terakhir yang terdapat kenyataan tahun yang telah dijumpai ialah Nashaih al-‘Ibad, diselesaikan hari Khamis, 21 Safar 1311 H/1893 M. Oleh sebab masih banyak karya Sheikh Nawawi al-Bantani yang belum dijumpai dan banyak juga karya yang tidak terdapat kenyataan tahun selesai penulisan, maka tahun berapa sebenarnya beliau mulai melakukan penulisan dan tahun terakhir penulisan belum diketahui dengan pasti.

Hidup sezaman dengan Sheikh Nawawi al-Bantani ialah Saiyid Utsman Betawi, yang terkenal sebagai Mufti Betawi. Penulisan dilakukan dalam Peringkat Ketujuh dan Kelapan. Karya pertama muncul dalam kategori Peringkat Ketujuh, iaitu Jawaz Ta’addud al-Jum’ah, diselesaikan tahun 1286 H/1869 M.

Karya yang terakhir yang diketahui tahun selesai penulisan termasuk dalam kategori Peringkat Kelapan, iaitu Taftih al-Maqalatain, diselesaikan tahun 1313 H/1895 M. Karyanya terdiri beberapa bahasa iaitu Arab, Melayu Betawi, Sunda dan Jawa. Karya beliau dalam senarai penulis ada 36 judul, sedangkan karya keseluruhan difahamkan sebanyak 109 judul.

Seorang ulama Sumbawa yang barangkali sebaya umur dengan Sheikh Nawawi al-Bantani dan Saiyid Utsman al-Batawi ialah Sheikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi al-Sumbawi. Karyanya tidak dapat dipastikan apakah termasuk dalam kategori Peringkat Ketujuh atau pun Peringkat Kelapan kerana karya-karya yang telah dijumpai tidak terdapat catatan tahun selesai penulisan.

Karya-karya ulama Sumbawa ini yang telah diketahui ialah Siraj al-Huda dan Minhaj al-Salam, kedua-dua banyak kali diterbitkan dan masih beredar di pasaran kitab. Karyanya berjudul Tuhfat al-Qudsiyah sampai sekarang masih belum dijumpai.

Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang berpindah ke Kedah mendapat zuriat yang menjadi ulama ada beberapa orang, di antara mereka ada menghasilkan karya. Dalam kategori peringkat keenam ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Syeikh Mas’ud al-Qadhi al-Banjari.

Dua buah karya beliau yang telah dikenalpasti, iaitu Miftah al-Jannah dan Bidayat al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman. Tarikh selesai penulisan Miftah al-Jannah terdapat tiga maklumat yang berbeza-beza. Cetakan Matba’ah al- Miriyah Mekah tahun 1321 H dinyatakan bahawa selesai mengarang tahun 1247 H, cetakan tahun 1328 H dinyatakan selesai pada 16 Syawal 1255 H, cetakan Matba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby Mesir tahun 1342 H, dinyatakan diselesaikan pada 16 Syawal 1274 H.

Barangkali yang betul bahawa Miftah al-Jannah itu diselesaikan tahun 1274 H/1867 M. Adapun Bidayat al-Ghilman, diselesaikan tahun 1297 H/1819 M. Sebuah manuskrip judul ini tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia nombor kelas MI 49.

Ulama yang berasal dari Kelantan pula yang dapat dimasukkan ke dalam kategori peringkat keenam ada dua orang, iaitu: Haji Ahmad bin Muhammad Yusuf bin Abdul Halim. Manuskrip karyanya ialah Durr al-Hisan, diselesaikan tahun 1282 H/1868 M, tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, nombor kelas MI 725.

Manuskrip karya beliau yang lain, yang membicarakan fiqh, judul tidak jelas, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M, tersimpan di PMMPNM nombor kelas MS 780.

Seorang lagi ulama Kelantan ialah Haji Abdus Samad bin Muhammad Shalih, yang lebih popular dengan sebutan Tuan Tabal. Sebahagian besar karyanya dapat dimasukkan ke dalam kategori Peringkat Keenam dan ada di antaranya diselesaikan dalam kategori Peringkat Ketujuh.

Karya-karya Tuan Tabal ialah: Munabbih al-Ghafilin, diselesaikan tahun 1285 H/1868 M, diikuti dengan Jala' al-Qulub, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M. Kedua-duanya membicarakan tasauf. Manuskrip Jala’ al-Qulub tersimpan di PMMPNM nombor kelas 557.

Karya-karya Tuan Tabal yang lain ialah Kifayat al-‘Awam, diselesaikan tahun 1295 H/1878 M. Manhat al-Qarib adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal daripada karya-karyanya yang lain.

Penutup

Maka selesai perbicaraan mengenai penulisan-penulisan manuskrip yang dihasilkan oleh ulama-ulama yang dikategorikan pada peringkat keenam ini.

Selanjutnya pada ruangan akan datang akan dibicarakan peringkat-peringkat selanjutnya, iaitu peringkat ketujuh hingga yang terakhir peringkat kesepuluh.


Tok Ku Paloh

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


Pahlawan Datuk Bahaman pernah meminta perlindungan daripada Tok Ku Paloh Al-Aidrus.

DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.

Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).

Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.

Pendidikan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De 'El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.

Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah 'Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya' 'Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus....”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.

Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.

Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma'arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba'ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.